Pulau Besar Melaka kini gamit pelancung

MELAKA 15 Feb. – Berbeza dengan kebanyakan pulau yang ada di negara ini, nama Pulau Besar seringkali dikaitkan dengan mistik dan mitos yang tersendiri.

Barangkali kerana khazanah sejarah serta kepelbagaian kisah silam yang tersimpan, nama Pulau Besar tidak pernah surut dengan berbagai spekulasi dan persoalan pelbagai pihak.

Menyelak sejenak helaian sejarah pulau legenda yang terletak di perairan Selat Melaka kira-kira tiga batu nautika dari Banda Hilir itu, ia sebenarnya pernah menjadi salah satu pusat berkembangnya penyebaran agama Islam ke negara ini.

Mengikut sejarah, individu yang bertanggungjawab menyebarkan ajaran Islam yang berpusat di pulau itu dikenali sebagai Sultanul Arifin atau nama sebenarnya Sheikh Ismail Abdul Qadir yang juga merupakan keturunan ke-18 Nabi Muhammad SAW.

Atas sebab itu jugalah pulau ini merupakan tempat persemadian ramai tokoh agama sejak ratusan tahun yang lalu.

Dan kerana itu jugalah ramai dalam kalangan masyarakat yang tinggal di kawasan sekitar, terutamanya orang lama beranggapan, pulau itu mempunyai ‘keramat’ dan tidak boleh berkelakuan sebarangan.

Bagaimanapun, tempat yang menjadi tinggalan sejarah yang menjadi bukti bertapaknya Islam ke negara ini sedikit masa dahulu tercemar dengan pelbagai aktiviti khurafat dan pemujaan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Pelbagai aktiviti termasuklah pemujaan kubur, pokok dan batu menjadi taruhan mereka yang ingin mencapai hasrat tertentu.

Malangnya, aktiviti yang berterusan sejak sekian lama itu seolah-olah membayangi pulau itu sehingga ada pihak yang melabelkan pulau itu sebagai ‘pulau khurafat’.

Biarpun usaha demi usaha dilakukan oleh pihak berwajib, namun kedegilan dan kegilaan si pemuja yang begitu teruja memohon dan meminta pertolongan daripada mereka yang dipanggil ‘wali’ bagaikan menghakis akal dan rasional.

Peliknya, aktiviti tersebut bukan hanya dilakukan oleh orang bukan Islam, tetapi juga yang beragama Islam.

Mereka mempercayai mitos yang kononnya dengan memuja roh di Makam Tujuh Beradik, Makam Nenek Kebayan, bekas tapak kaki dan sebagainya akan memakbulkan segala hasrat yang dipinta.

Ini secara tidak langsung telah mencemarkan kesucian Islam yang pernah dibawa oleh tokoh-tokoh Islam terdahulu ke pulau itu.

Peredaran masa ternyata telah membawa pelbagai perubahan kepada Pulau Besar.

Label pulau khurafat kini tidak lagi sesuai kerana pulau itu semakin ‘pulih’ atas usaha kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) yang sering melakukan pemantauan.

Usaha membangunkan Pulau Besar kini semakin menampakkan hasil apabila semakin ramai berkunjung ke pulau itu untuk bercuti, di samping menyelusuri sisipan sejarah agung berkaitan kedatangan Islam ke negara ini.

Hakikatnya, kini perubahan itu dapat dilihat dengan terbinanya kemudahan penginapan, termasuk chalet dan kemudahan pengangkutan ke tempat-tempat menarik di pulau itu.

Antara tempat-tempat menarik ialah Makam Sultanul Arifin, Tapak Kaki Sultanul Arifin, Batu Belayar, Batu Tengkorak, Batu Belah dan Makam Syarifah Rodziah.

Biarpun masih lagi di peringkat ‘pemulihan’, namun Pulau Besar bagi penulis yang baharu pertama kali menjejakkan kaki ke situ baru-baru, ia merupakan tempat yang cantik kerana dilengkapi landskap yang terjaga rapi serta sesuai dijadikan destinasi percutian sekeluarga bagi merehatkan minda dari kesibukan kota.

Perjalanan dari jeti sepanjang 200 meter ke pulau itu yang terhidang landskap yang menghijau bagaikan menggamit dan mengalu-alukan kedatangan sesiapa sahaja.

Tidak sukar untuk ke sana, perjalanan hanya mengambil masa kurang satu jam dari Jeti Anjung Batu dan Jeti Umbai.

Pengunjung juga boleh memilih untuk bermalam di pulau itu dengan berkhemah sahaja.

Usaha menghakis aktiviti khurafat di pulau itu dibuktikan oleh kerajaan negeri bukan hanya dengan mengadakan pemantauan berkala malah, mengadakan pelbagai aktiviti berkaitan keagamaan.

Ini termasuklah sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri baru-baru ini yang dihadiri oleh Tuan Yang Terutama, Tun Mohd. Khalil Yaakob; Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Othman Muhamad.

Pulau itu turut dikenali oleh pengunjung dari luar negara yang datang bercuti ke negeri itu termasuklah Singapura, India dan Indonesia.

Selain bercuti, pengunjung dilihat mengambil kesempatan melawat makam-makam berhampiran sambil berdoa untuk kesejahteraan si mati.

Pelbagai gelagat dapat dilihat. Ada hanya meninjau kawasan sekitar makam, ada yang berdoa dan ada juga yang bersedekah dengan memasukkan wang ke dalam tabung khas.

Jika usaha ‘pemulihan’ sebegini mampu menyelamatkan Pulau Besar daripada pelbagai aktiviti khurafat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, nama Pulau Besar pasti menjadi antara salah satu destinasi pulau percutian menarik di negara ini.

Advertisement

About Sifuli

Bicara tentang makan minum, tidur baring, dan beranak pinak yang membina adat resam untuk kehidupan rohani, jasmani, jiwa dan raga. Diantara weblog Sifuli yang popular adalah seperti berikut: Dukun Asmara bicara tentang beranak pinak. Hipnotis Sifuli bicara tentang tidur baring. Jalan Akhirat bicara tentang adat resam (agama) Doa Ayat dan Zikir untuk rohani jasmani jiwa dan raga. Jika tak suka sekali pun janganlah tinggalkan komentar yang keterlaluan. Kerana segalanya adalah sekadar ilmu pengetahuan. Wasalam.
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s