Suatu ketika dahulu, terdapat seorang nenek kebayan yang mempunyai tujuh orang anak lelaki. Setiap seorang mempunyai kelebihan yang tertentu. Pada suatu hari, nenek kebayan hendak keluar mencari akar kayu untuk dijadikan ramuan ubat-ubatan. Beliau berpesan kepada anak-anaknya supaya menyiram tanaman di kebun bunga dan herba. Hanya yang bongsu menyiram tanaman tersebut.
Proses menyiram adalah sangat rumit sehingga si bongsu ini terfikir untuk mengangkat air dengan menggunakan tempayan sahaja kerana beliau mempunyai kekuatan seperti ’Badang’. Ini bermakna dengan hanya sekali angkat sahaja dari perigi sudah dapat air satu tempayan.
Suatu hari, sewaktu hendak menyiram, tempayan yang penuh berisi air itu terhempas. Si bongsu lantas terus mengorek lubang di tanah dan menanam tempayan yg pecah itu di dalam lubang tersebut. Tiba-tiba, terpancut mata air keluar di dalam tempayan yang pecah itu. Walaupun airnya keruh tapi ia tidak berbau. Sehingga sekarang perigi tempayan ini terus mengeluarkan air dan dipercayai tidak pernah kering.